Berita

Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025… Putra Amaris syukur pemuda infaq dua MPV

- Diterbit 26 Februari 2025 2:30 PM MYT

PELAKON dan penyanyi, Putra Amaris meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk melihat Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat, Kuala Lumpur, mempunyai kenderaan rasmi akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail,40, menerima dua kereta jenis Multi-Purpose Vehicle (MPV) daripada seorang pemuda untuk diinfaqkan kepada Maahad Tahfiz tersebut.

“Alhamdulillah rezeki tahun ini cukup baik. Anak-anak tahfiz ini selalu tanya saya, bila mereka boleh dapat van untuk kegunaan harian seperti ke masjid.

“Selalunya anak-anak ini akan menggunakan kereta arwah ayah saya untuk bergerak ke mana-mana.

“Tak sangka doa kami dimakbulkan apabila kami menerima hadiah dua buah kereta jenis MPV daripada seorang anak muda lingkungan 30-an,” katanya.

SEKITAR majlis pelancaran program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025

Amaris berkata demikian ketika ditemui pada majlis Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan 2025 #SamaSamaKenyang, pada Selasa.

Menurut Amaris, dia mengenali rapat dengan penyumbang MPV tersebut yang disifatkan seorang yang pemurah.

“Kita doakan semoga hamba Allah yang menginfaqkan dua buah kereta itu diberikan rezeki yang luas.

“Saya memang mengenali rapat pemberi ini. Orangnya memang baik dan pemurah. Sebelum ini kami ada mohon bantuan kepadanya.

“Alhamdulillah mereka sudah menggunakan kereta itu beberapa bulan yang lalu. Saya gembira melihat mereka tersenyum dan gembira,” katanya.

Amaris menerima dua kereta jenis Multi-Purpose Vehicle (MPV) daripada seorang pemuda untuk diinfaqkan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat, Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025, Amaris berkata, misi tahun ini untuk membantu 1,000 orang asnaf, termasuk anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang-orang tua, dan gelandangan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha murni kami untuk menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat ini.

“Program Kongsi Rezeki 2025 Infaq Ramadan mendapat kerjasama daripada jenama SoftRein dan Biofitrah dalam misi mengedarkan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Selain itu, Amaris juga sedang berusaha mengumpul dana untuk membina sebuah bangunan untuk Maahad Tahfiz Misbahul Falah.

“Seiring dengan usaha ini, team Kongsi Rezeki juga akan menganjurkan
Majlis ‘Tahfiz Berselawat’ . Majlis ini akan menghimpunkan seramai 100 orang anak-anak Tahfiz sekitar Kuala Lumpur.

“Majlis berbuka puasa amal di samping berselawat bersama anak-anak Tahfiz dan diiringi dengan tazkirah ringkas dari ustaz merupakan usaha untuk mengumpul dana dalam bentuk penjualan meja.

“Program ini akan diadakan di Warung Pagi Pagi pada 15 Mac 2025 yang mana hasil penjualan meja akan disalurkan terus ke Maahad Tahfiz,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, pada 22 Mac 2025 Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan di Saloma Kuala Lumpur, meja untuk dijual sebanyak 30 buah meja bersamaan 300 buah kerusi dan hasil penjualan akan disalurkan terus ke Maahad Tahfiz dan sebahagian akan diinfaqkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak, Adina Charity Circle.

“Sasaran kami yang seterusnya adalah untuk mengumpulkan dana bagi anak anak pejuang kanser seluruh Malaysia bersama Adina Charity Circle untuk mendapatkan baju sekolah, baju raya serta keperluan harian mereka seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi.

“Team Kongsi Rezeki juga berganding bahu bersama rumah orang-orang tua Mesra Home Ampang mengumpulkan dana melalui penjualan buku ‘Aku Penjaga Nenek’.

“Hasil penjualan buku tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu penjaga nenek dalam menjaga lebih 20 orang-orang tua yang tiada waris di sana,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas