Berita

Kongsi rezeki bersama warga WP

KIM Eng (kiri) merupakan penyumbang utama bagi Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP.
- Diterbit 9 Jun 2023 8:56 AM MYT

PENYUMBANG utama Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan, Syarikat Tahap Warisan Sdn Bhd berbesar hati berkongsi rezeki bersama warga Wilayah Persekutuan yang dalam kesusahan.

Pengarah Urusannya, Datuk Tong Kim Eng berkata beliau gembira kerana diberi jalan untuk menyalurkan sumbangan melalui YWP yang diyakini dalam menguruskan hal-hal kebajikan warga kota.

“Saya tidak berlengah lagi apabila mendapat tahu tentang perkara ini kerana saya percaya sumbangan yang diberi akan sampai kepada golongan rentan yang sangat memerlukan.

“Sejujurnya saya seorang yang sangat kasihan apabila melihat ramai yang hidup susah dan memerlukan di luar sana. Dengan wang sumbangan yang diberi sekurang-kurangya dapat membantu pelajar mengubah masa hadapan keluarga mereka,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga tidak menolak untuk melakukan sebarang kerjasama bersama YWP dalam program-program kebajikan lain pada masa akan datang.

“Kami sentiasa membuka pintu untuk YWP dan diharapkan jalinan kerjasama ini tidak terhenti sampai di sini sahaja. Mungkin banyak lagi yang boleh dirancang bersama,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Terdahulu, Syarikat Tahap Warisan Sdn Bhd menyumbang RM1 juta kepada Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan sekali gus menjadi penyumbang terbesar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas