Berita

KLFA bukan tempat buat duit

- Diterbit 24 November 2019 7:24 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY dan AINI MAWAWI

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bukan tempat untuk ahli jawatan kuasa (AJK) yang dilantik membuat duit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang juga Presiden KLFA sesi 2019-2023 berkata, komitmen kepada exco-exco yang dilantik adalah untuk meningkatkan prestasi bola sepak dan itu merupakan matlamat yang jelas.

“Tugas pengurusan dan exco yang dilantik adalah untuk mencari dana persatuan bagi pembangunan sukan bola sepak ini.

“Kalau ada yang datang untuk cari duit atau mahu buat duit bagi kepentingan diri sendiri, maka disini bukanlah tempatnya,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres KLFA ke-32 di sini hari ini.

Tegas Khalid, semua ahli diingatkan bahawa KLFA bukanlah tempat untuk mendapatkan keuntungan peribadi sebaliknya meningkatkan prestasi pasukan demi impian peminat bola sepak di sini.

Ujar beliau, KLFA mesti mencapai hasrat dan impian peminat pasukan bola sepak Kuala Lumpur untuk muncul antara pasukan terbaik dalam negara.

“Semua mesti ada kesepakatan selain mengetepikan ideologi politik, maka pasukan ini pasti akan berjaya.

“Kita juga mesti sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan impian peminat pasukan ini,” katanya.

Turut hadir bekas Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar.
-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas