Berita

Klang tidak berisiko kejadian lubang benam – Alexander Nanta

- Diterbit 24 Oktober 2024 4:01 PM MYT

RISIKO kejadian lubang benam (sinkhole) tidak timbul di kawasan Klang kerana kawasan itu tidak didasari batu kapur.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,  berkata kawasan Klang tediri daripada formasi gula yang merupakan enapan lautan berusia kuarterner terdiri daripada lempung lautan (marine clay) yang perlu diberi perhatian khusus dalam reka bentuk geoteknik.

“Risiko kejadian lubang benam (sinkhole) tidak timbul di kawasan Klang memandangkan kawasan ini tidak didasari oleh batu kapur.

“Oleh itu, potensi kejadian insiden tanah jerlus di kawasan Klang lazimnya disebabkan faktor bukan semulajadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem perparitan, kegagalan terhadap struktur tanah tambakan (embankment) yang bersifat setempat.

“Bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus disebabkan kebocoran paip utiliti, Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai garis panduan prosedur pemasangan utiliti jalan persekutuan yang mana pemasangan utiliti di dalam rizab jalan persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang telah disyaratkan oleh pihak Jabatan Kerjay Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ganabatirau mengenai perancangan KKR untuk membantu membendung insiden lubang benam di kawasan yang berisiko tinggi khususnya Klang.

Menurut Alexander lagi, pemantauan dan penyenggaraan secara berkala juga dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh KKR bagi memastikan jalan dalam keadaan baik termasuk sistem perparitan.

Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah termasuk melaporkan kerosakan sistem perparitan seterusnya tindakan pembaikan.

“Dalam masa sama KKR juga akan bekerjasama dengan syarikat utiliti yang berkaitan bagi memastikan keadaan jalan Persekutuan yang diselenggara JKR selesa dan selamat untuk digunakan pengguna jalan raya.

“Bagi projek pembangunan infrastruktur baru, adalah menjadi amalan JKR untuk melaksanakan kerja penyiasatan tapak yang menyeluruh bagi mengenalpasti struktur lapisan dan parameter tanah sebagai input dalam rekabentuk kerja geoteknik dan perparitan bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus selepas projek siap,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas