PASUKAN KL Strike Force telah menjalankan lebih 500 tindakan penguatkuasaan melibatkan lebih 2,000 tangkapan sejak ditubuhkan pada Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia merangkumi penguatkuasaan berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penjaja tidak berlesen.
Malah katanya, pasukan itu turut melaksanakan tindakan terhadap aktiviti persundalan, gelandangan dan pencerobohan tanah kerajaan.
“Kita tidak boleh lagi bertindak reaktif hanya berdasarkan aduan, sebaliknya perlu bertindak dengan lebih proaktif dengan memikirkan apa cara yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian yang sama tidak lagi berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman X selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat itu memfokus kepada perbincangan berkait isu-isu keselamatan dan kesejahteraan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Terdahulu beliau memberi contoh isu berkaitan persundalan di Kuala Lumpur yang memerlukan kepada tindakan pembanterasan secara proaktif.
“Mungkin kita boleh jadikan Dolly di Surabaya, Indonesia sebagai contoh di mana kawasan yang dahulunya dikenali sebagai ‘red-light district’ direjuvenasikan melalui inisiatif placemaking.
“Ia kini menjadi tempat tumpuan pelancongan antaranya dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan hijau. From red to green. Ini kita akan laksanakan di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, beliau telah meminta pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti aspek perundangan, khususnya peraturan-peraturan yang lemah dan lapuk agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.
“Saya juga telah mendengar taklimat keselamatan mengenai Labuan oleh pihak polis dan Jabatan Imigresen. Alhamdulillah saya dimaklumkan keadaan keselamatan di Labuan sedang dipantau dengan baik.
“Walau bagaimanapun, ada beberapa cadangan yang perlu diteliti bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk Labuan secara keseluruhannya,” katanya. – WILAYAHKU