Berita

KL Strike Force bakal ditubuh tangani isu warga asing di KL, Labuan

- Diterbit 27 Mei 2024 9:24 PM MYT

JAWATANKUASA Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) telah menubuhkan pasukan petugas khas, KL Strike Force sebagai usaha menangani madalah warga asing di Kuala Lumpur dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata menerusi mesyuarat JKKNWP secara dasarnya pihaknya memberi fokus kepada perbincangan pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman awam antaranya isu IMM13 di Labuan dan isu lambakan warga asing di Kuala Lumpur.

“Antara isu yang turut dibincangkan adalah isu penempatan haram warga Rohingya di Bandar Baru Sentul yang sedang tular di media sosial.

“Saya memberi jaminan bahawa perkara ini akan diambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan setelah mempengerusi dan mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Bil. 1/2024.

Kali terakhir mesyuarat ini bersidang adalah pada tahun 2020 yang lalu.

Zaliha berkatasebagai rumusan kepada mesyuarat tersebut, beliau telah bersetuju untuk menubuhkan satu unit khas yang dinamakan sebagai KL Strike Force yang akan bertindak secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasa lain.

“Ia termasuk penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
(KASTAM).

“Task force ini ditubuhjan bagi menangani isu-isu yang melibatkan keselamatan termasuklah isu lambakan peniaga jalanan, penjaja, peniaga kecil, pengemis, gelandangan dan isu-isu semasa yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya

Katanya, penguatkuasaan secara bersepadu ini akan dijalankan serta merta di kawasan
hotspot termasuk tindakan pantas ke atas hantaran tular di media sosial.

“Penubuhan KL Strike Force ini akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas