Sukan

KL Down Mall Challenge 2025: Pamer bakat ekstrem

NIK AHMAD (lima kiri) merasmikan Kejohanan Berbasikal KL Down Mall 2025 di WiPers Performance Center.
- Diterbit 23 Mei 2025 11:14 PM MYT

EDISI sulung KL Down Mall Challenge 2025 bakal menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu sukan berbasikal ekstrem tempatan, khususnya dalam kalangan belia.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata kejohanan yang membuka penyertaan seawal usia 13 tahun itu memberi peluang kepada pelumba muda untuk memulakan langkah dalam arena sukan kompetitif.

“Kejohanan ini bukan sekadar medan saingan, tetapi juga usaha strategik untuk mengesan dan membimbing atlet muda berbakat, terutama yang bersedia menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kita percaya ada antara mereka yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata acara yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun ini di Endah Parade, Sri Petaling itu dipilih sebagai lokasi rasmi berdasarkan struktur bangunan yang sesuai serta sokongan penuh pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

“Laluan perlumbaan sepanjang 600 meter merentasi tujuh tingkat bangunan bakal menguji kemahiran teknikal pelumba dengan pelbagai halangan mencabar seperti eskalator, selekoh tajam dan cerun curam (ramp).

“Bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi, penganjur turut melibatkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur, Firdaus Arshad menjelaskan bahawa format perlumbaan dalam pusat beli-belah ini tidak asing di peringkat antarabangsa, dengan kejohanan seumpamanya pernah dianjurkan di Australia, New Zealand dan terbaru di Indonesia.

“Kita berharap KL Down Mall Challenge dapat dijadikan acara tahunan, sekali gus memperluas lagi minat dan penyertaan dalam sukan berbasikal ekstrem di negara ini,” katanya.

Buat masa ini, kategori catatan masa terpantas (time trial) merupakan satu-satunya acara yang dipertandingkan bagi kejohanan ini di Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas