Berita

KL City FC: Tamatkan derita pemain

- Diterbit 23 Oktober 2024 1:29 PM MYT

ISU berkaitan masalah tunggakan gaji bagi kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City) menarik perhatian semua pihak terutamanya peminat bola sepak tempatan.

Justeru, Pengurus Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA), Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berharap peneraju baharu KL City, Syed Yazid Syed Omar dapat menamatkan penderitaan pemain dengan segera.

“Setiap pemain mempunyai komitmen masing-masing, jadi tamatkanlah penderitaan mereka dengan melunaskan segala tunggakan bayaran yang sepatutnya.

“Saya tidak terlibat dan tidak tahu bagaimana caranya tetapi mengharapkan yang terbaik dapat dicapai dalam menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera.

“Fokus perlu diberi terhadap kebajikan pemain terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang proses bagaimana untuk membangunkan pasukan,” katanya kepada Wilayahku.

Kamarul Ariffin berkata dia mengenali Syed Yazid dan yakin beliau mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu pasukan tersebut sekian lama.

“Saya percaya setiap individu yang memikul tanggungjawab besar ini mempunyai cara tersendiri dalam mengemudi sesebuah pasukan serta menyelesaikan segala permasalahan. Cubalah sebaik mungkin. Itu sahaja yang saya harapkan dan saya menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Sekarang kita serah kepada kepimpinan bagaimana mereka mahu selesaikan,” ujarnya yang juga merupakan bekas penolong pengurus skuad bola sepak kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Yazid yang baharu memenangi pemilihan Kongres KLFA kali ke-35 pada Sabtu lalu, tidak menunggu lama apabila terus ‘bekerja’ dengan mengumumkan beberapa inisiatif.

Syed Yazid berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan dana sebanyak RM1 juta pada hujung bulan ini.

“KLFA sudah mula membayar sebulan tunggakan gaji berserta dengan sebahagian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pemain yang dikreditkan pada 14 Oktober 2024.

“Di samping itu, pihak DBKL juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyalurkan dana sebanyak RM1 juta di penghujung Oktober nanti. Dengan dana ini, semestinya kita akan dapat menyelesaikan sebahagian lagi tunggakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas