Berita

KKR sedia beri nasihat kepakaran teknikal bantu siasatan kebakaran gas Putra Heights

- Diterbit 4 April 2025 10:00 AM MYT

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan bagi memastikan punca kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, dapat dikenal pasti.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sudahpun mengarahkan semua agensi di bawah kementerian itu yang terbabit baik secara langsung mahupun tidak, untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya mengikuti perkembangan insiden letupan gas di Putra Heights dengan rapat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai di KKR dan juga agensi terbabit.

“Pihak kementerian juga bersedia untuk memberikan sebarang bantuan diperlukan bagi memastikan punca kejadian dapat dikenal pasti dan langkah-langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelak insiden sebegini daripada berulang.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bersedia memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Nanta Linggi pada masa sama turut menzahirkan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat tragedi pada Selasa lalu.

Katanya, keselamatan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

“Saya yakin, semua pihak yang terlibat komited untuk memastikan siasatan penuh dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.

“Kami akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas