KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bersifat inklusif bagi memperkasa sumber manusia kesihatan bagi memastikan pengisian jawatan secara tetap terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di fasiliti kesihatan di seluruh negara.
KKM memberitahu, keperluan tambahan sumber manusia juga diuruskan menerusi pelantikan dan mobilisasi petugas lantikan kontrak.
“Antaranya melaksanakan pemetaan perjawatan pakar perubatan melibatkan bidang kepakaran dan subkepakaran serta kedudukan pakar residen di hospital.
“Perkara ini bertujuan untuk memudahcara perancangan dan mobilisasi serta perkembangan perkhidmatan kepakaran di Kementerian Kesihatan.
“Selain itu, turut dilaksanakan konsep kluster perkhidmatan kepakaran mengikut wilayah dan kluster hospital bagi menggalak dan mengoptimumkan perkongsian sumber-sumber antara hospital dalam kluster dan Pakar Perubatan dan Pegawai Perubatan boleh menyampaikan perawatan perubatan dalam lingkungan kluster yang ditetapkan,” ujarnya di Dewan Negara hari ini.
KKM menjawab soalan Senator Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang meminta kementerian itu menyatakan langkah-langkah segera yang diambil oleh kerajaan dalam menangani krisis kekurangan tenaga kerja di sektor kesihatan, khususnya doktor, jururawat dan kakitangan sokongan. – WILAYAHKU