Berita

KKM perkukuh usaha tangani HIV di IPT, ujian saringan masih secara sukarela

- Diterbit 20 Mac 2025 12:00 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) terus memperkukuh usaha menangani jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin membimbangkan, termasuk menerusi program kesedaran, peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual, serta rawatan pencegahan yang lebih meluas.

KKM memaklumkan bahawa walaupun kadar jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus antara tahun 2000 hingga 2009, penurunan ini menjadi lebih perlahan pada kadar 25.4 peratus dari 2010 hingga 2024.

“Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 222 kes atau 7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes HIV membabitkan pelajar IPT berumur antara 18 hingga 25 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.

Sebagai langkah pencegahan, KKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program PROSTAR 2.0 yang menekankan aspek kesedaran HIV dan penyakit jangkitan seksual (STI).

“Sepanjang 2024, sebanyak 348 aktiviti PROSTAR 2.0 dijalankan melibatkan 42,710 pelajar, dengan peningkatan pengetahuan sebanyak 47 peratus,” katanya.

Menurut KKM, akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual turut dipertingkatkan melalui pelancaran ujian HIV kendiri dan laman web TestNow pada Disember 2023.

“Sehingga 23 Januari 2025, sebanyak 145,041 individu telah melayari laman ini dengan purata 349 pengunjung sehari,” katanya.

KKM berkata bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan berisiko, Model Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) KK 2.0 kini diperluaskan ke 33 klinik kesihatan dengan kerjasama sektor kerajaan dan NGO.

“Sementara itu, rawatan Antiretroviral (ARV) yang membantu individu hidup normal dengan HIV telah diberikan kepada 50,694 pesakit pada 2024, meningkat 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut KKM, kerajaan juga memperluaskan rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi pasangan kepada individu yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA).

“Rawatan ini mampu mengurangkan risiko jangkitan melalui hubungan seksual sehingga 99 peratus apabila diambil mengikut preskripsi.

“Pada 2024, seramai 7,053 individu menerima rawatan ini di 34 klinik, dan lebih banyak pusat rawatan akan dibuka tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan sesi libat urus dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, swasta dan NGO terus diperkukuh bagi memastikan program pencegahan dan kawalan HIV dilaksanakan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ujian saringan HIV hanya diwajibkan kepada pelajar antarabangsa serta mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan klinikal.

“Bagi pelajar lain, ujian ini kekal secara sukarela buat masa ini,” katanya.

Tambah KKM, pihaknya komited memastikan langkah-langkah ini dapat mengurangkan kadar jangkitan HIV di kalangan generasi muda sambil terus menilai keperluan dasar saringan lebih ketat pada masa hadapan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas