Berita

KKD teliti isu pengambil alihan Menara KL

- Diterbit 27 Disember 2022 12:00 PM MYT

MENTERI Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) oleh syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd.

Jelasnya beliau sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsensi pengurusan Menara KL pada 14 Disember yang lalu.

“Saya memandang serius isu dibangkitkan menerusi media sosial serta soalan-soalan yang ditanya berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada pihak Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd.

“Saya telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada Telekom Malaysia (TM) pada 3 Januari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan bahawa konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember 2022 oleh MKLSB.

“KKD memantau rapat perkembangan itu dan bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu berkenaan,” katanya.

Terdahulu Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memiliki Menara KL dikatakan menjual 10 juta sahamnya kepada syarikat yang kurang dikenali Hydroshoppe Sdn Bhd, tindakan yang menimbulkan tanda tanya memandangkan MKLSB merupakan syarikat menguntungkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas