Fokus

‘Kita perlu bijak merancang kewangan’

- Diterbit 22 Februari 2025 1:00 PM MYT

JIKA diberi pilihan pastinya orang tidak akan memilih untuk menjadi generasi sandwic yang tersepit di antara kesusahan orang tua dan kebergantungan anak terhadap dirinya.

AZIZUL

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Azizul Azli Ahmad, generasi ini kebiasaannya akan hidup susah tanpa perancangan kewangan yang betul dan sekiranya ia tidak diatasi kemungkinan untuk anak-anaknya berada dalam situasi yang sama adalah tinggi. 

“Mereka boleh keluar daripada kitaran ini jika berusaha bersungguh-sungguh, konsisten serta disiplin dan yang paling utama perlu mempunyai perancangan bajet dengan bijak. Sebagai contoh menggunakan kaedah kewangan seperti 50-30-20 atau 40-30-30. Apa yang saya selalu sebut adalah 50 peratus itu digunakan untuk keperluan, 30 keinginan dan 20 peratus simpanan, pelaburan dan perlindungan. 

“Seterusnya perkara asas yang perlu adalah mewujudkan dana kecemasan di mana setiap keluarga perlu mempunyai tabungan untuk tiga hingga enam bulan dan digalakkan menyimpan di Tabung Haji atau ASB. Saya tidak galakkan untuk mereka menyimpan dalam mana-mana instrumen pelaburan seperti saham atau emas. 

“Ketiga adalah sediakan perlindungan insuran atau takaful dan paling penting adalah lindungi pendapatan yang disebut income protection dan kedua barulah ambil kad perubatan tapi kebiasaan orang kita mereka ambil medical card terlebih dahulu. Jadi terbalik. Sekiranya mereka memang tersepit, antara cara lain adalah dengan menjana pendapatan tambahan seperti buat freelance, perniagaan kecil dan sebagainya. Lihat potensi diri yang boleh digunakan untuk membantu kewangan.

“Yang terakhir iaitu siapkan dana persaraan waktu muda di mana persiapan dana pencen boleh menjadi tabungan kebahagiaan buat kita. Jangan jadikan anak-anak sebagai mesin ATM kita dan persiapan ini juga dapat mengeluarkan anak-anak daripada kitaran ini,” katanya. 

Mengulas lanjut, Azizul berkata, dari perspektif pengurusan kewangan, terdapat tiga jenis sandwic dalam generasi ini dan setiap satu memerlukan strategi kewangan yang berbeza untuk mengurus keperluan serentak
dan memastikan keseimbangan antara tanggungjawab serta persediaan untuk masa depan mereka sendiri.

“Pertama adalah Open-Faced Sandwich yang merujuk kepada mereka yang hanya perlu menjaga ibu bapa atau anak-anak, tetapi tidak kedua-duanya serentak di mana beban kewangan kurang berat berbanding generasi sandwic tradisional, namun masih ada tanggungjawab besar.

“Kedua adalah Traditional Sandwich iaitu individu yang secara aktif menyokong kedua-dua generasi, ibu bapa yang semakin tua dan anak-anak yang masih bergantung. Mereka perlu mengurus kos perubatan ibu bapa dan kos pendidikan serta perbelanjaan lain anak-anak secara serentak dan yang terakhir adalah Club Sandwich, merujuk kepada individu yang bukan sahaja menyokong ibu bapa dan anak-anak, tetapi juga cucu atau generasi muda lain dalam keluarga, atau mungkin ibu bapa yang lebih tua (seperti datuk nenek),” jelasnya. 

Tambahnya, krisis generasi sandwic ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja, malah berlaku kini di Singapura dan Indonesia bila mana kesedaran kewangan, taraf ekonomi berubah, kebergantungan hidup dan sebagainya. 

Azizul berkata, terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan bagi membantu mengurangkan tekanan kewangan generasi ini.

“Manfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan, subsidi kesihatan dan sebagainya yang diberikan secara percuma kepada kita. Seterusnya rancang perbelanjaan sebaiknya dengan meletakkan garis di antara keperluan dan kehendak.

“Selain itu, literasi kewangan iaitu kebijaksanaan kewangan juga perlu diberikan kepada masyarakat kini bagi mengelakkan mereka ditipu oleh mana-mana pihak. Saya tengok kerajaan juga mula memperkenalkan kokurikulum kewangan di sekolah tetapi ia lebih kepada konsep duit bukan literasi kewangan dan diharapkan perkara tersebut dapat ditambah baik pada masa akan datang bagi memutuskan rantaian generasi sandwic ini,” ujarnya. 

Kesimpulannya, Azizul berkata, krisis ini tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat kerana ia perlu ada perancangan yang betul dan rapi kerana kita sedang menanggung generasi atas dan bawah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas