Berita

KITA 2024 bukti komitmen perkukuh integriti, perangi rasuah

- Diterbit 12 Oktober 2024 1:28 PM MYT

SEBAGAI bukti komitmen memperkukuh agenda integriti dan memerangi rasuah, Sabah akan menganjurkan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 pada 14 Oktober ini.

Konvensyen yang merupakan anjuran kali kedua dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dijangka menjadi acara tahunan kebanggaan Sabah dalam memperkasa integriti, khususnya melibatkan kalangan penjawat awam dan swasta.

Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean berkata, bertemakan ‘Integriti Lestari Asas Kejayaan Madani’, KITA 2024 akan menghimpunkan 2,000 peserta termasuk engurusan tertinggi, Ketua Pegawai Integriti dan Governans (CIGO) serta pegawai integriti dari syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) Persekutuan dan Negeri Sabah.

“Ia bertujuan meningkatkan kemahiran dan keunggulan sahsiah serta mewujudkan sinergi antara organisasi bagi memaksimumkan sumber dan idea dalam usaha pemantapan integriti dan tadbir urus.

“Acara ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu dan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bee Kean berkata, dengan inisiatif seperti KITA 2024, diharapkan objektif pengukuhan integriti dan pembudayaan nilai antirasuah dapat dicapai, selain menjadi platform untuk percambahan idea dan pembelajaran bagi Ketua-Ketua Unit Integriti dan Governans.

Katanya, KITA 2024 adalah salah satu inisiatif untuk melaksanakan misi dan visi kerajaan dalam memerangi rasuah, meningkatkan integriti dan memperkasa tadbir urus pentadbiran.

Menurutnya, peluncuran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada 29 Januari 2019 yang mengandungi 111 inisiatif antirasuah telah menyasarkan enam sektor utama iaitu tadbir urus politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

“Pelan ini berjaya melaksanakan 85 inisiatif sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya.

“Sebagai kesinambungan kepada NACP, kerajaan memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 pada 7 Mei lalu, yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“NACS kali ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat melalui agenda Malaysia MADANI serta menyediakan hala tuju yang jelas dalam membanteras rasuah di setiap peringkat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas