Biz

KIDaF lancar susu kambing Faa-iz tampung perbelanjaan tahfiz

vanilla dan strawberi yang dirasmikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias (Kanan)||PENGERUSI KIDaF
- Diterbit 21 Februari 2022 12:49 AM MYT

KOMPLEKS Islam Darul Faizin (KIDaF) menerusi anak syarikatnya Al-Faizin Marketing, baru-baru ini melancarkan tiga lagi variasi perisa Susu Kambing Faa-iz keluarannya bertempat di Kampung Bukit Aping, Bandar Baharu, Kedah.

Menurut Pengerusi KIDaF, Ustaz Haji Jafri Abu Bakar@Mahmud, kepelbagaian perisa susu kambing yang diperkenalkan membolehkan masyarakat membuat pilihan.

“Kita bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa selama lebih setahun di pasaran sehingga pada suatu ketika kami merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu yang berperisa.

“Jadi tiga perisa yang kita lancarkan adalah coklat, vanilla dan strawberi. Tiga perisa ini terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar-pengedar susu Faa-iz.

“Dalam masa yang sama, pembeli boleh membuat pilihan terhadap perisa yang digemarinya,”  kata Pengerusi KIDaF yang mendapati perisa coklat digemari semua, vanila pula disukai warga emas dan kanak-kanak selain strawberi yang menjadi kesukaan si kecil.

KOMPLEKS Islam Darul Faizin (KIDaF) melancarkan tiga perisa terbaharu Susu Kambing Faa-iz iaitu coklat, vanilla dan strawberi yang dirasmikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias (Kanan)


Jafri berkata, idea untuk membangunkan Susu Kambing Faa-iz tercetus ketika terlalu sibuk dengan pelbagai program sehingga kadangkala tidak sempat untuk makan.

Beliau turut memikirkan cara alternatif menjana pendapatan untuk madrasah dan tidak hanya bergantung dengan kutipan sumbangan untuk kelangsungan operasi semata-mata.

Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan ini memandangkan KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar.

“Jadi saya memikirkan satu sumber alternatif, bak kata orang utara yang boleh mengalas perut sebelum dapat makan dengan sempurna. Selepas berbincang, kami merasakan minuman susu adalah yang paling sesuai dan susu yang terbaik adalah susu kambing,” jelasnya.

PENGERUSI KIDaF, Ustaz Haji Jafri Abu Bakar@Mahmud (tengah) bersama Zainudin Zakaria (Management Manager Al Faizun Marketing) dan Nor Helinda Ibrahim (Administration
RND Al Faizin Marketing)

Menurut Jafri, banyak kelebihan susu Faa-iz berbanding susu lain di pasaran. Ketika proses formulasi bermula, beliau menekankan agar susu yang dipilih perlulah susu gred A, kerana bukan saja ia lebih pekat, ia juga tiada bau hamis kambing.

“Ramai tahu akan kelebihan susu kambing sebagai ‘Miracle Food’. Susu terbaik di dunia selepas susu ibu ialah susu kambing.

“Jadi kita masukkan beras perang yang jarang-jarang dibuat orang. Tujuannya yang pertama adalah untuk menghilangkan bau hamis kambing dan keduanya membantu kita untuk merasa kenyang.

“Kita juga memasukkan kurma untuk memberikan tenaga segera sekali gus bertujuan untuk menggantikan gula,” jelas ustaz Jafri sambil mengakui Susu Kambing Faa-iz boleh diminum oleh mereka yang menghidap kencing manis.

MENURUT ustaz Jafri, Ginko Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-Quran.

Jelas ustaz Jafri, Ginko Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-Quran di Darul Faizin selain warga emas yang mampu meningkatkan ingatan selain garam bukit yg banyak khasiatnya sebagai penambah perisa.

Apa yang lebih menarik, walaupun ia memiliki kelebihan sedemikian rupa namun harganya sangat berpatutan jika dibandingkan dengan produk lain di pasaran.

Paling penting ia sesuai untuk semua peringkat umur daripada sekecil-kecil anak yang berusia dua tahun sehinggalah kepada warga emas.

“Sememangnya Al-Faizin Marketing adalah perniagaan yang menyumbang kepada ekosistem KIDaF.

“Memandangkan kita tidak mengenakan sebarang yuran kepada pelajar tahfiz dan warga emas, melainkan hanya membayar sewa rumah di Darul Faizin, maka kita memerlukan dana yang agak besar dan buat masa kini mencecah RM30,000 sebulan serta bertambah dari semasa ke semasa.

“Jadi kita tidak ada sumber pendapatan lain selain membuat kutipan sumbangan.

“Sampai bila kita hendak membuat kutipan seperti itu. Kita tidak mahu bergantung dan kita mahu menjana pendapatan sendiri untuk paling tidak pun, menampung perbelanjaan bulanan termasuk pengurusan, gaji dan sebagainya.

“Akhirnya wujud Al-Faizin Marketing. Jadi sesiapa yang membeli barangan menerusi syarikat ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan dan pengurusan KIDaF,” tambahnya lagi.

MAJLIS perasmian turut dimeriahkan dengan penganjuran Forum Perdana Israk Mikraj oleh tetamu jemputan istimewa Datuk Ustaz Kazim Elias.

Al-Faizin Marketing ditubuhkan semata-mata untuk KIDaF dan tidak ada sesiapapun yang memiliki kepentingan ke atas syarikat ini serta tiada sebarang peratusan diletakkan untuk sumbangan.

“Ia sememangnya milik madrasah, sekali gus membezakan antara perniagaan yang dibangunkan oleh individu yang meletakkan peratusan ke atas sumbangan berbanding Al-Faizin Marketing yang dibangunkan oleh KIDaF,” ujar Jafri lagi yang mengutamakan pembangunan madrasah.

Bercakap mengenai sasaran jualan, Jafri berkata sasaran yang ingin dicapai oleh Al-Faizin Marketing adalah untuk dapat menyumbangkan sejumlah pendapatan bagi KIDaF bagi membolehkan ia beroperasi dengan selesa.

Inisiatif lain yang bakal dibangunkan Al-Faizin Marketing dalam pembangunan ekosistem KIDaF setakat ini adalah untuk menjalankan dobi layan diri di Seberang Prai, Pulau Pinang selain berharap dapat membuka lagi beberapa lagi cawangan lain di seluruh malaysia.

“Selain itu kami juga mengusahakan dua Inap Desa yang diharap dapat diperluaskan pasarannya dan selain produk minuman susu, kami mungkin akan mengeluarkan beberapa lagi produk makanan di masa akan datang,” katanya mengakhiri perbualan.

Mengenai Susu Kambing Faa-iz, produk ini adalah produk susu kambing premium yang dihasilkan bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada kesihatan pengguna, tetapi juga sebagai satu ekosistem janaan ekonomi KIDaF yang menawarkan pengajian secara percuma kepada pelajar.

Selain menjadi minuman Sunnah Rasulullah SAW, susu Faa-iz yang diformulasi menggunakan bahanbahan premium seperti beras perang, ginko biloba, garam bukit serta kurma yang mampu membekalkan tenaga kepada pengguna. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas