Berita

Khairul Anuar lepasi ‘halangan’ pusingan penentuan ranking

KHAIRUL mengumpul 661 mata selepas melengkapkan keseluruhan 72 panahan. Gambar: BERNAMA KHAIRUL mengumpul 661 mata selepas melengkapkan keseluruhan 72 panahan. Gambar: BERNAMA
- Diterbit 23 Julai 2021 8:40 AM MYT

JAGUH memanah negara Khairul Anuar Mohamad menamatkan saingan pusingan penentuan ranking acara recurve individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan ke-20 pada aksi di Lapangan Memanah Yumenoshima Park di Tokyo, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan itu mengumpul 661 mata selepas melengkapkan keseluruhan 72 panahan sementara atlet Korea Selatan Kim Je Deok mengungguli saingan itu dengan pungutan 688 mata.

Khairul Anuar, 29, yang menghuni ranking ke-15 dunia ketika ini dijadual membuat perhitungan menentang pemanah Finland Antti Vikstrom pada aksi pertama pusingan kalah mati, Rabu depan.

Bagaimanapun, hasrat skuad memanah negara untuk melangkah ke pusingan pertama acara berpasukan campuran tidak kesampaian selepas Malaysia gagal berada dalam kelompok 16 terbaik setelah menduduki tempat ke-19 daripada 29 negara bertanding.

Malaysia yang mengutip 1,291 mata menerusi mata yang dikumpul Khairul Anuar dan pemanah wanita negara Syaqiera Mashayikh (619 mata) dalam saingan wanita pagi tadi, dipisahkan enam mata daripada Bangladesh yang berada di kedudukan ke-16.

Dalam pada itu, Korea Selatan mencipta rekod baharu Sukan Olimpik acara berpasukan campuran menerusi gandingan Je Deok dan pemanah wanita An San apabila mengumpul 1,368 mata.

Terdahulu, dalam pusingan penentuan ranking acara recurve individu wanita, Syaqiera yang menjadi atlet Malaysia pertama memulakan aksi di Sukan Olimpik Tokyo, berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-43 dengan pungutan 619 mata, juga catatan peribadi terbaik beliau. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas