KEHADIRAN pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) setiap tahun dilihat memberi impak besar dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi kepada Labuan.
Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid berkata kuwujudan UMSKAL di Labuan merancakkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi Labuan dari pelbagai sudut.
“Kewujudan UMSKAL di pulau ini turut menaikkan semangat dan memotivasikan anak muda tempatan untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi bagi membina masa depan yang lebih baik.
“Pihak pengurusan akan sedaya upaya membantu mereka menjadi graduan dan tenaga kerja yang cemerlang dalam memperkukuh proses transformasi negara berpaksikan inovasi dan menjana nilai tinggi dalam keperibadian,” ujarnya pada Majlis Amanat Pengarah dan Pengenalan Pegawai sempena Minggu Suai Mesra di Dewan Utama, UMSKAL, baru-baru ini.
Beliau berkata seramai 471 pelajar baharu telah melanjutkan pengajian tinggi mereka di UMSKAL pada Sesi 2023/2024.
“Daripada jumlah itu, 157 merupakan pelajar lelaki dan 314 pelajar perempuan bagi kedua-dua fakulti iaitu Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI).
“Manakala daripada jumlah berkenaan, seramai 122 pelajar datang dari Semenanjung Malaysia, Sabah (280), Sarawak (53) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kampus berusia lebih 20 tahun itu telah menabur bakti sebagai pusat pendidikan tinggi utama di Labuan.
Katanya, UMSKAL telah melahirkan kira-kira 12,000 alumni yang berjaya sehingga kini sejak beroperasi pada tahun 1999.
Terdahulu, terdapat tujuh program yang ditawarkan di UMSKAL yang terdiri daripada lima program Sarjana Muda di bawah FKAL iaitu Kewangan Antarabangsa, Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir, Pemasaran Antarabangsa, Ekonomi Kewangan Antarabangsa dan Kewangan Islam. Manakala dua daripada empat program Sarjana Muda di bawah FKI iaitu Teknologi Multimedia Dan Komputeran Perniagaan. – WILAYAHKU