KeTSA bantah pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

KeTSA bantah pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

MALAYSIA komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

Berkata mengenainya, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, pemeliharaan kawasan berhutan adalah penting disebabkan peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

“Secara dasarnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta agensinya telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, khususnya di peringkat awal cadangan kerajaan Negeri Selangor.

“Pihak kementerian juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun
2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, pihaknya memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

Ini kerana tambahnya, sehingga 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

Pada 30 Ogos lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menerbitkan artikel bertajuk ‘Selangor Government Approves Degazettement of Kuala Langat North Forest Reserve, 536.7ha to be developed’, yang bermaksud kerajaan Selangor bersetuju membuat perwataan keluar hutan simpanan berkenaan untuk pembangunan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS