Berita

Ketagihan berbelanja dalam talian

GOLONGAN muda tertarik kerana kaedah pembayaran bulanan yang mudah.
- Diterbit 7 Mei 2025 12:20 PM MYT

KEMUDAHAN akses terhadap skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) mendorong anak muda terus terjerumus dalam kancah ‘ketagihan’ untuk berbelanja kerana dapat membeli barangan yang mereka inginkan tanpa perlu membayar penuh pada peringkat awal.

Malah, golongan tersebut lebih teruja dan tertarik dengan skim berkenaan yang membolehkan mereka membayar sedikit demi sedikit harga barangan dibeli pada bulan-bulan seterusnya.

Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hazrin Izwan Che Haron @ Shafiee, gaya hidup juga menjadi antara penyebab utama
golongan tersebut memilih skim BNPL.

HAZRIN IZWAN

“Anak muda boleh membeli produk terbaharu atau keperluan dengan mudah, yang mungkin mereka tidak mampu bayar sepenuhnya dalam satu masa terutamanya pada golongan pelajar.

“Dalam masa sama, mereka berpeluang membeli barangan berharga tinggi contohnya pembelian barangan seperti telefon pintar, pakaian atau alat elektronik yang menjadi kegilaan kepada golongan muda (yang tidak mampu dibayar secara tunai) telah merancakkan lagi penggunaan BNPL.

“Keinginan yang mengatasi segala-galanya terutama ‘darah muda’ yang menguasai diri membutakan mata untuk menilai keperluan dan kehendak selain kekurangan pengetahuan tentang
pengurusan literasi kewangan menyebabkan kurang berfikir tentang kemampuan membayar balik di masa depan,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya jika penggunaan BNPL tidak diikuti dengan pengurusan kewangan yang baik, maka ia berpotensi untuk membawa mereka ke arah kegagalan kewangan atau bankrap.

“Pentingnya ilmu literasi kewangan terhadap golongan muda ini terutamanya berkenaan berapakah jumlah interest (faedah) berganda yang dikenakan dalam tempoh yang mereka pilih (makin lama tempoh makin berganda interest harus dibayar).

“BNPL boleh menggalakkan anak muda untuk berhutang kerana mereka cenderung menggunakan skim ini tanpa mengambil kira kemampuan kewangan. Jika tidak tahu menguruskan kemudahan ini dengan bijak kemungkinan mereka terpaksa berdepan dengan hutang yang berganda apabila gagal untuk membayar balik pada masa yang ditetapkan,” jelas beliau.

Namun, dalam masa yang sama Hazrin tidak menafikan skim ini boleh dianggap satu langkah baik dalam keadaan tertentu terutamanya golongan yang tidak mempunyai akses kepada kredit atau simpanan untuk membeli barangan keperluan.

“Ia memudahkan akses kepada barangan yang mungkin sukar diperoleh secara tunai dalam tempoh singkat bagi yang memerlukan keperluan. Sebagai contoh, alat peralatan dapur, kenderaan, komputer riba atau pakaian.

“Berhati-hati dengan penggunaan berlebihan terutamanya bagi barangan kehendak yang tidak perlu. Tanpa pemantauan yang betul, ia boleh menyebabkan golongan rentan terjerat dalam
pembayaran berulang bersama interest yang tinggi dan akan mengganggu kestabilan kewangan mereka.

“Penggunaannya juga boleh menyebabkan komitmen kewangan yang tinggi setiap bulan, terutamanya jika pengguna membeli banyak barangan melalui skim tersebut tanpa mengira lebihan gaji setelah menolak komitmen asas.

“Setiap bulan, mereka perlu membayar hutang BNPL di samping interest dan ia juga boleh bertukar menjadi komitmen utama seperti pinjaman perumahan, kenderaan, bil utiliti serta perbelanjaan harian (barang dapur).

“Ia boleh menyebabkan beban kewangan yang berterusan dan menyebabkan pengguna terdedah kepada masalah kewangan jika tidak berhati-hati mengira lebihan gaji yang mampu untuk membayar hutang BNPL,” katanya.

Beliau turut menasihatkan anak muda untuk menggunakan skim tersebut secara bijak dan hanya untuk keperluan penting sahaja.

“Sebelum membuat keputusan menggunakan BNPL, pengguna seharusnya memastikan mereka mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi untuk membayar balik tanpa membebankan komitmen kewangan bulanan.

“Elakkan diri terjebak dalam gaya hidup berbelanja berlebihan.

“Haruslah menahan nafsu berbelanja secara tidak terkawal ini dan utamakan simpanan untuk masa depan. Sentiasa semak rekod kewangan dan pastikan bahawa penggunaan BNPL tidak melebihi kemampuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas