Berita

KESUMA proaktif tingkat peluang pekerjaan golongan belia

- Diterbit 19 Disember 2024 1:15 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi meningkatkan penyertaan semua golongan belia dalam tenaga kerja.

KESUMA menjelaskan langkah tersebut dapat mempertingkatkan peluang-peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kadar pengangguran secara keseluruhannya.

“KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempergiatkan beberapa program bagi menggalakkan penyertaan tenaga kerja termasuk bumiputera antaranya penyediaan platform portal MYFutureJobs dalam usaha menambah baik pemadanan antara bidang kelulusan dengan jenis pekerjaan yang ditawarkan.

“Melalui Sistem Carrier Bridge Tool pula dapat membantu menghubungkan graduan dengan pekerjaan yang sepadan mengikut kelayakan mereka menerusi platform portal MYFutureJobs.

“Selain itu, Sistem Wage Guide membantu graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengenal pasti dan mengukur potensi sekali gus membuat keputusan tepat dalam pilihan kerjaya mereka,” ujarnya di Dewan Negara hari ini.

KESUMA menjawab soalan Senator Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah berkenaan langkah-langkah strategik yang diambil kerajaan dalam menangani pengangguran belia terutamanya dalam konteks ekonomi baharu pasca pandemik serta bagaimana kementerian dapat bekerjasama dengan sektor industri.

Tambahnya KESUMA turut menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) dengan pelbagai industri.

“Bagi tahun 2024, sebanyak 66 MoC telah dimetrai mencakupi pelbagai bidang dan industri seperti minyak dan gas, elektrik dan elektronik, automotif, hospitaliti, pembinaan, perladangan, perabot dan telekomunikasi.

“KESUMA menerusi agensi di bawahnya seperti Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) aktif dalam menawar dan menyediakan pelbagai program reskilling dan
upskilling berteraskan TVET.

“Kursus-kursus jangka pendek dan program perantisan turut ditawarkan oleh pelbagai agensi di bawah KESUMA seperti di 32
buah Institut Latihan JTM dan CIAST serta program Akademi Dalam Industri (ADi),” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas