KERAJAAN sentiasa cakna dan proaktif untuk menangani masalah guna tenaga tidak penuh terutamanya kepada pekerja tempatan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempergiatkan beberapa program bagi menggalakkan penyertaan tenaga kerja dalam bidang yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan.
“Antaranya melalui penyediaan platform portal MYFutureJobs, membangunkan Sistem Carrier Bridge Tool yang merupakan sistem berteraskan kaedah dalam talian serta sistem Wage Guide untuk membantu graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengenal pasti dan mengukur potensi sekali gus membuat keputusan tepat dalam pilihan kerjaya mereka,” ujar beliau.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Star) yang meminta menyatakan usaha dan pelan inisiatif kerajaan dalam menangani seramai 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah dengan peningkatan kira-kira 100,000 pekerja berbanding suku sebelumnya.
Steven berkata pernyataan bahawa guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah sebanyak 1.95 juta orang meningkat sebanyak 100,000 orang berbanding 1.94 juta orang pada suku tahun sebelumnya adalah kurang tepat.
“Peningkatan data guna tenaga tidak penuh sebenarnya hanyalah 10,000 orang pada suku tahun ketiga 2024 berbanding suku tahun sebelumnya,” ujar beliau.
Bagi tahun 2024, sebanyak 66 Memorandum Kerjasama (MOC) telah dimetrai mencakupi pelbagai bidang dan industri seperti minyak dan gas, elektrik dan elektronik, automotif, hospitaliti, pembinaan, perladangan, perabot dan telekomunikasi. – WILAYAHKU