Berita

KESUMA arah segala laporan berkaitan HRD Corp dilapor kepada SPRM

- Diterbit 5 Julai 2024 12:27 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) mengarahkan segala penemuan laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp) dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata sejajar syor Ketua Audit Negara, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD CORP Datuk Wira Shahul Dawood membuat laporan tersebut kepada SPRM.

“Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.

“Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan KESUMA dan HRD CORP (PSMB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Steven Sim, dalam masa enam bulan ini, KESUMA telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola
yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya.

“Matlamat saya adalah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang,” ujarnya.

Tegas beliau, KESUMA tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

“KESUMA tidak akan berkompromi dengan tindakantindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas