SEBELUM ini pernah kecoh dalam media sosial apabila terdapat segelintir pihak yang mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghidap penyakit kronik yang digeruni ramai.
Bukan itu sahaja, katanya Anwar mendapat rawatan daripada doktor perubatan khas di Jerman.
Dakwaan ini seolah-olah satu kenyataan benar dan mula dipercayai apabila Perdana Menteri tidak memberi apa-apa kenyataan. Ada juga yang mendakwa kalau tidak benar, kenapa Perdana Menteri tidak saman?
Sedangkan dalam hal ini, Anwar sangat sibuk dengan jadual padatnya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Bagi pemimpin nombor satu negara itu, banyak yang perlu diputuskannya demi kepentingan negara dan rakyat berbanding memikirkan fitnah yang dilemparkan.
Nampaknya tuduhan yang mengatakan Perdana Menteri menghidap penyakit adalah fitnah semata-mata apabila beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa tahap kesihatan Perdana Menteri berada dalam keadaan yang sangat baik.
Jelas beliau Perdana Menteri juga dapat menjalankan tugasan rasmi seperti biasa.
“Pemeriksaan kesihatan ini adalah sebahagian daripada komitmen Perdana Menteri untuk memastikan beliau kekal cergas dan bersedia dalam menerajui pentadbiran negara serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan penuh dedikasi,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Kenyataan ini sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada rakyat bahawa penyakit kronik yang dikaitkan dengan Perdana Menteri itu satu fitnah dan cerita yang di ada-adakan.
Sebagai rakyat kita sepatutnya mendoakan yang baik-baik buat Perdana Menteri yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat dan mahukan yang terbaik buat negara. – WILAYAHKU