UMAT Islam diseru agar sentiasa menzahirkan kepercayaan dan kesetiaan kepada pemimpin yang sah selagi mana pemimpin itu berlaku adil, menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan tidak menyalahi syariat Islam.
Demikian ditegaskan oleh pendakwah, Mohd Sanawi Mohd Sanusi yang melihat prinsip berkenaan berakar kukuh dalam Al-Quran, hadis Nabi SAW dan amalan para sahabat.
Malah katanya ia sebagai manifestasi penting dalam menjaga kestabilan masyarakat Islam dan mengelakkan perpecahan.
Dalam Surah An-Nisa’, ayat 59, Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin di kalangan kamu”.
“Ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah perintah Allah, selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” tegas Mohd Sanawi.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam Islam, struktur masyarakat diibaratkan seperti sebuah keluarga yang memerlukan ketua.
Seperti seorang anak harus menghormati ibu bapanya, demikian juga rakyat harus meletakkan kepercayaan kepada pemimpin sebagai bentuk adab berjemaah dan ukhuwah.
“Kepercayaan itu bukan bermaksud membenarkan semua tindakan membuta tuli, tetapi sebagai sokongan untuk memelihara perpaduan dan kestabilan.
“Jika berlaku kesilapan, ditegur secara hikmah, bukan menjatuhkan maruah atau membina permusuhan,” katanya.
Menurut beliau Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim: “Sesiapa yang mentaati aku, maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai aku, maka dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpinnya, maka dia telah mentaati aku”.
Demikian antara apa yang diperintahkan atau diajar oleh Rasulullah SAW mengenai ketaatan kepada pemimpin, khususnya dalam kita menjalani kehidupan ini dengan meletakkan perkara itu sebagai keutamaan.
Mengulas senario semasa yang memperlihatkan segelintir masyarakat cenderung menyerang dan meragui pemimpin secara terbuka, beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian amat bertentangan dengan roh Islam.
Untuk itu tegasnya Islam amat melarang kepada tindakan memecahbelahkan sesama jemaah.
Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa keluar daripada ketaatan dan memisahkan diri daripada jemaah, lalu mati, maka dia mati dalam keadaan jahiliyah”. (HR Muslim).
Menurut Mohd Sanawi apa yang ditegaskan Rasulullah SAW itu sangat jelas bahawa kepercayaan kepada pemimpin adalah asas kepada kekuatan umat.
Beliau menyimpulkan bahawa umat Islam wajib memberi kepercayaan kepada pemimpin yang sah dan amanah, selagi tidak menyeru kepada maksiat atau kezaliman.
“Selagi mana pemimpin itu menjaga kepentingan rakyat, melaksanakan keadilan dan menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, maka menjadi fardu kifayah kepada kita sebagai rakyat untuk memberi sokongan, bukan menghasut perpecahan,” katanya. – WILAYAHKU