KERAJAAN memberi jaminan keselamatan negara terkawal susulan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan orang awam menjadi keutamaan tertinggi kementerian terutama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Kita beri jaminan keadaan keselamatan negara adalah terkawal. Tidak perlu panik untuk dibimbangkan kalau sekadar merujuk kepada insiden yang berlaku (kes tembakan di pusat beli-belah),” katanya pada sidang medianya di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Semalam, Bukit Aman berkata penembak dikenal pasti berusia lingkungan 30-an disyaki di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.
Suspek dilapor mempunyai 11 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Namun, identiti penuh suspek belum didedahkan.
Dalam pada itu, Saifuddin memuji tindakan pantas polis terhadap kejadian tembakan itu, melibatkan langkah profiling dan kenal pasti suspek, sambil menyatakan ia mencerminkan kesiapsiagaan dan kompetensi tinggi.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa mempunyai proses tapisan ketat kepada mereka yang memohon permit senjata api, termasuk ditapis di pelbagai peringkat melibatkan Bukit Aman dan kementeriannya.
Namun, katanya kejadian tembakan di Setia Alam memerlukan semakan modul latihan bagi pengawal keselamatan dan polis bantuan.
“Polis bantuan ataupun pengawal keselamatan basic security training dia itu polis yang bagi modul, cuma insiden seperti ini memberikan kami satu lagi perspektif berbeza.
“Sudah sampai masanya untuk modul dan silibus latihan itu kita kemas kini,” katanya. – WILAYAHKU