MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memainkan peranan aktif dalam menghadapi musim banjir.
Beliau berkata ini kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.
“Kita bukan hanya bersedia untuk menghadapi bencana banjir ini, tetapi juga berusaha untuk melindungi dan menyelamatkan antara satu sama lain,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha, rentetan insiden banjir yang berlaku di Kuala Lumpur, semalam beliau telah memanggil Mesyuarat Khas Bencana Negeri bagi membincangkan langkah-langkah pencegahan dan pemulihan banjir.
Katanya, ini sebagai inisiatif kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata dalam mesyuarat tersebut, beliau meneliti taklimat dan laporan yang dibentangkan oleh agensi-agensi yang terlibat khususnya Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata ini bagi memastikan keselamatan masyarakat umum khususnya warga kota Kuala Lumpur yang terdedah kepada risiko banjir terjamin.
“Sebagai langkah proaktif, antara insiatif yang sedang dan akan dilakukan adalah dengan memantau keadaan banjir melalui Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beroperasi 24 jam.
“Melibatkan 490 petugas dalam standby mode, melakukan desilting dalam kolam takungan banjir dengan lebih kerap, membersihkan longkang-longkang yang telah dikenal pasti menyebabkan banjir, serta melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas di kawasan-kawasan melibatkan pembangunan yang menyebabkan air menjadi keruh,” katanya.
Selain itu, Zaliha mengucapkan syabas dan tahniah kepada DBKL serta seluruh agensi-agensi yang turut terlibat dalam pengurusan, pencegahan dan pemulihan pasca-banjir.
Beliau berharap kerjasama itu dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di ibu kota.
“Apabila berlakunya bencana banjir, jangan hanya melaporkan dalam media sosial masing-masing demi mengejar ‘content viral’, tetapi juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa atau menghubungi Bilik Gerakan Bencana DBKL.
“Ini melalui SMS atau WhatsApp di talian 013-250 3255 atau hubungi 03-2617 9862 (Bilik Gerakan Menara 1),” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha menegaskan Jabatan Wilayah Persekutuan khususnya DBKL komited untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam merancang dan melaksanakan strategi pengurusan banjir yang berkesan.
Beliau berkata ini termasuk peningkatan sistem saliran dan pemantauan cuaca secara berkala.
“Melalui kolaboratif ini, saya berharap langkah-langkah ini dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di ibu kota ketika berlakunya bencana.
“Di musim hujan ini, saya ingin berpesan kepada semua warga kota untuk sentiasa berhati-hati. Ingat, keselamatan tanggungjawab kita semua,” katanya. – WILAYAHKU