Berita

Kesalihan berinteraksi dalam dunia digital

GAMBAR Hiasan
- Diterbit 1 November 2019 8:57 AM MYT

REVOLUSI Industri 4.0 telah membawa perubahan besar dalam dunia digital. Perkembangan dunia digital yang diterajui teknologi maklumat dan komunikasi semakin canggih dan sofistikated. Ia turut memberi kesan yang besar terhadap pola interaksi sosial dalam masyarakat.

Dalam interaksi yang berlaku pada hari ini, jaringan pengguna telah merentasi sempadan negara, agama dan bangsa. Mereka dapat berkomunikasi dengan pantas, murah, mudah dan tanpa batasan. Berdasarkan laporan statistik penggunaan internet sedunia, sejumlah 26.4 juta orang daripada 32.7 juta penduduk Malaysia merupakan pengguna internet pada suku kedua tahun 2019.

Penggunaan internet lebih tertumpu kepada media sosial baharu seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp.

Namun kebelakangan ini kita dipaparkan dengan pelbagai gejala tidak sihat yang berlaku dalam kalangan warga dunia digital.

Gejala ini termasuklah pengintipan dan pembulian siber, penyebaran fitnah dan berita palsu, membuat komentar yang tidak beradab dan ujaran kebencian selain meniup sentimen perkauman dan keagamaan serta penghinaan terhadap agama Islam.

Terdapat pengguna tidak mematuhi etika berkomunikasi dan adab berinteraksi. Mereka bebas memberi komentar tanpa adab dan sopan di laman pengguna lain. Dengan ledakan maklumat tanpa kawalan, pengguna dengan mudah menerima dan menyebarkan maklumat palsu, fitnah dan umpatan secara berleluasa.

Turut membimbangkan mutakhir ini adalah kecanduan siber yang serius dalam kalangan pengguna di Malaysia. Ini kerana banyak masa yang dihabiskan oleh mereka di media sosial. Gejala ini boleh mempengaruhi kualiti kesejahteraan hidup, tahap kesihatan mental dan membentuk sikap anti sosial.

Kesantunan

Bagi menangani gejala tidak sihat ini, satu pendekatan perlu dilakukan bagi membentuk kesalihan digital, iaitu sikap baik dalam berinteraksi di dunia internet, termasuklah media sosial.

Sikap baik yang berasaskan panduan syariah dan nilai kesantunan Melayu perlu dipupuk dalam diri warga digital. Ia merupakan adunan antara akhlak Islam yang terpuji dan budi pekerti yang baik di samping batasan perundangan yang perlu diambil kira dalam penggunaan media sosial.

Dalam syariah Islam, nilai asas dalam hubungan sesama manusia adalah menjaga kehormatan terhadap maruah manusia. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap orang Muslim bagi orang Muslim yang lainnya diharamkan darahnya (tidak boleh membunuhnya), hartanya (tidak boleh dirampas), dan kehormatannya (tidak boleh menghinanya)” (Riwayat Ibn Majah).

Sehubungan itu, dalam penggunaan media sosial, maruah pengguna lain perlu dihormati dan dipelihara. Begitu juga, tidak boleh diintip dan dibuka keaiban orang lain. Dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (al-Hujurat: 12).

Di samping itu, terdapat juga larangan asas yang menjadi batasan dalam interaksi di media sosial. Ini termasuklah larangan menzalimi atau menyakiti orang lain sama ada dalam bentuk kata-kata yang menyakitkan hati atau pembulian siber.

Juga larangan mengumpat atau ‘membawang’ dan menyebarkan fitnah. Seorang muslim juga dilarang untuk berbohong dan menyebarkan berita palsu. Tegasnya, prinsip asas yang perlu diamalkan dalam interaksi sosial adalah tabayyun atau verifikasi tiap maklumat yang diterima.

Dalam masyarakat Melayu terdapat khazanah warisan tradisi yang menjadi asas kearifan tempatan iaitu pepatah-petitih dan peribahasa nasihat yang menjadi pedoman dalam interaksi sosial.

Antaranya: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa. Peribahasa ini menjelaskan tentang kesan buruk akibat daripada percakapan seseorang.

Dalam aspek perundangan negara pula, wujud peruntukan membabitkan kesalahan berkaitan penghinaan, fitnah, penyebaran maklumat palsu dan pengintipan siber. Umpamanya Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kebebasan berekspresi dan memberi pendapat perlu dibatasi dengan panduan agama, nilai kesantunan Melayu dan perundangan negara. Kesalihan digital ini dapat membentuk generasi yang punya ketrampilan sosial yang tinggi.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas