Berita

Kes penyakit tibi meningkat, masih jadi ancaman kesihatan awam

- Diterbit 17 Disember 2024 1:16 PM MYT

SEJUMLAH 23,648 kes penyakit tibi (TB) direkodkan setakat 16 November lalu, menyaksikan peningkatan 0.5 peratus berbanding 23,541 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu, peningkatan sebanyak 107 kes itu meletakkan tibi masih menjadi ancaman kepada kesihatan awam di negara ini.

Menurutnya, penyakit tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara.

“Penyakit tibi boleh dicegah dan dikawal melalui pengesanan kes dan kontak serta individu yang berisiko mendapat jangkitan tibi.

“Ia boleh sembuh melalui rawatan awal dan kepatuhan mengambil ubat TB seperti yang disarankan oleh pengamal perubatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KKM menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai usaha kerajaan menangani peningkatan kes jangkitan TB.

Jelas KKM, bagi menyediakan rawatan yang lebih efektif di kawasan luar bandar dan bandar, pihak kementerian sedang melaksanakan pengesanan awal pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan dengan tanda dan gejala penyakit TB.

Katanya, ini termasuk rawatan awal dengan ubat anti TB yang berkualiti selain melaksanakan pengesanan jangkitan TB laten (latent TB infection, LTBI) dan rawatan pencegahan TB (TB preventive treatment, TPT).

“KKM komited untuk mengurangkan beban penyakit TB menjelang 2035. Dengan pelaksanaan beberapa langkah yang dirancang, diharapkan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan TB yang lebih cekap dan berkesan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas