Berita

Kes kesalahan seksual kanak-kanak meningkat 26.5 peratus – DOSM

Gambar hiasan
- Diterbit 1 November 2024 3:26 PM MYT

BILANGAN kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 26.5 peratus atau 1,567 kes tahun lalu berbanding 1,239 kes pada 2022.

Dapatan itu didedahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2024 yang diterbitkan hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes (2022).

Menurut beliau, kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak pula masing-masing merekodkan 91 dan 67 kes pada tahun lalu.

“Dari perspektif perlindungan, bilangan mereka yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022,” katanya.

Mohd Uzir memberitahu, bilangan kanak-kanak perempuan mencatatkan lebih ramai yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 5,418 orang berbanding kanak-kanak lelaki iaitu 3,118 orang.

“Namun kanak-kanak lelaki yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 26.4 peratus berbanding kanak-kanak perempuan (25.9 peratus) dalam pada tempoh yang sama (tahun 2023 berbanding 2022),” katanya.

Melihat kepada aspek tahap kesihatan pula katanya, ‘certain conditions originating in the perinatal period’ kekal menjadi sebab kematian utama bagi kanak-kanak kurang daripada 5 tahun pada 2023 dengan 36.4 peratus.

Ia diikuti ‘congenital malformations, deformations and chromosomal abnormalities’ (27.5 peratus), pneumonia (2.6 peratus), ‘transport accidents’ (1.5 peratus) dan meningitis (0.7 peratus).

Menurut beliau, dari aspek pengambilan pelalian pula, liputan bagi semua jenis pelalian kepada bayi semakin baik pada 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas