Berita

Kes kartel daging: SPRM tidak tolak penglibatan syarikat ternama

- Diterbit 5 Januari 2021 12:57 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan syarikat ternama dalam isu berhubung kegiatan kartel penyeludupan daging sejuk beku ke Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan menyeluruh SPRM akan dilakukan untuk membuktikan pembabitan pihak tertentu dalam kes kartel daging itu.

“Sekiranya ia sudah melibatkan kartel seperti yang didakwa, kami percaya mesti ada ‘taikun’ atau syarikat ternama yang terlibat dalam perkara ini. SPRM akan siasat dan tiada sesiapa akan terlepas.

“Bagaimanapun, nama syarikat atau taikun yang dipercayai terlibat ini tidak dapat didedahkan kerana ia masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam satu program bual bicara terbitan sebuah televisyen swasta (NTV7) hari ini.

Beliau berkata adalah tidak adil jika nama syarikat didedah kerana kes masih dalam siasatan manakala dakwaan penglibatan dalam kartel atau berlakunya pengimportan daging secara haram itu juga hanya berdasarkan laporan dibuat oleh pihak media.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia. – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas