Berita

Kes HFMD tunjuk trend penurunan 45 peratus

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 14 November 2024 4:19 PM MYT

JUMLAH keseluruhan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara menunjukkan trend penurunan sebanyak 45 peratus, setakat 28 September lalu.

Bagi tempoh itu, sebanyak 53,864 kes dilaporkan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 97,174 kes.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, majoriti kes HFMD adalah melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun iaitu sebanyak 71 peratus terutamanya di institusi pendidikan awal kanak-kanak.

“Kebanyakan kes HFMD sembuh dengan sendiri tanpa memerllukan rawatan khusus dan setakat ini tiada kes kematian dilaporkan antara 2023 hingga kini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KKM menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai jumlah terkini mangsa HFMD di seluruh negara.

KKM menambah, pihaknya telah mengambil beberapa langkah bagi menangani HFMD dengan memperketat kes-kes melalui sistem pemantauan penyakit berjangkit bagi tujuan mengesan peningkatan kes secara lebih awal.

Katanya, pemantauan itu membantu kementerian dalam mengenal pasti kawasan berisiko dan melaksanakan tindakan pencegahan dengan segera.

“Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa memantau jenis virus HFMD menerusi survelan makmal melibatkan 21 pusat sentinel HFMD.

“Survelan ini bertujuan mengesan jangkitan HFMD yang disebabkan oleh enterovirus 71 iaitu jangkitan yang boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk myocarditis, encephalitis dan juga kematian,” katanya.

Jelasnya, setakat ini, tiada virus enterovirus 71 yang dikesan.

“Virus HFMD utama yang dikesan menyebabkan HFMD di Malaysia adalah dari jenis pan enterovirus dan coxsackie B virus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas