Berita

Kes denggi menurun, tiada kematian dilaporkan

- Diterbit 23 September 2024 11:11 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 1,794 kes pada Minggu Epidemiologi ke-37 (ME37) bagi tempoh 8 hingga 14 September tahun ini berbanding 1,870 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME37 adalah sebanyak 100,236 kes berbanding 84,865 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 89 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 59 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME37 adalah sebanyak 43 lokaliti berbanding 53 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 43 lokaliti yang dilaporkan, 32 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (3); Perak (3); Negeri Sembilan (2); Pulau Pinang (2); dan Kelantan (1),” katanya hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME37.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 72 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME37.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,934 sampel darah serta lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas