KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 2,373 kes pada Minggu Epidermiologi ke-28 (ME28) bagi tempoh 7 hingga 13 Julai tahun ini berbanding 2,805 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME28 adalah sebanyak 80,441 kes berbanding 63,966 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Tambah Muhammad Radzi, terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 45 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME28 adalah sebanyak 100 lokaliti berbanding 86 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.
“Dari 100 lokaliti yang dilaporkan, 74 lokaliti di negeri Selangor; Negeri Sembilan (6); Perak (6); Kuala Lumpur dan Putrajaya (6); Kedah (4); Pulau Pinang (2); Sarawak (1) serta Sabah (1),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat tujuh kes direkodkan pada ME28.
Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 54 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME28.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,437 sampel darah serta lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU