Berita

Kes denggi menurun, tiada kematian dilaporkan

Gambar hiasan
- Diterbit 15 Mei 2024 11:42 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan pengurangan kes demam denggi kepada 1,995 kes pada Minggu Epidermiologi ke-18 (ME18) bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei tahun ini berbanding 2,237 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME18 adalah sebanyak 54,882 kes berbanding 38,933 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME18 adalah sebanyak 70 lokaliti berbanding 63 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 70 lokaliti yang dilaporkan, 55 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (6); Perak (3); Pulau Pinang (2) Negeri Sembilan (2); manakala Kedah (1) serta Sarawak (1),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME18.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME18.

“Bagi survelan zika, sebanyak 900 sampel darah serta enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas