Berita

Kes denggi menurun, 4 kematian dilaporkan

- Diterbit 9 September 2024 2:26 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 1,765 kes pada Minggu Epidemiologi ke-35 (ME35) bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos tahun ini berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat empat kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME35 adalah sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 88 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 57 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME35 adalah sebanyak 64 lokaliti berbanding 85 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 64 lokaliti yang dilaporkan, 45 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (7); Negeri Sembilan (3); Kelantan (3); Perak (3); Kedah (1); Sabah (1) Sarawak (1),” katanya hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME35.

Jelasnya beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 70 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME35.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,834 sampel darah serta lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas