Berita

Kes denggi meningkat pada ME01, tiada kematian dilaporkan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 13 Januari 2024 3:10 PM MYT

JUMLAH kes demam denggi di negara ini meningkat kepada 3,181 kes pada Minggu Epidemiologi ke-01 (ME01) 2024 iaitu bagi tempoh 31 Disember 2023 hingga 6 Januari 2024 berbanding 2,715 kes pada minggu sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bagaimanapun berkata sepanjang tempoh minggu pertama tahun ini, tiada kes kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Dari segi bilangan lokalilti hotspot pula, beliau berkata jumlahnya berkurangan kepada 130 berbanding 131 pada minggu sebelumnya dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor sebanyak 100 lokaliti; diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (14); Perak (7); dan Negeri Sembilan (empat).

Selain itu itu, masing-masing dua lokaliti direkodkan di Pulau Pinang dan Sabah serta satu lokaliti di Kedah.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat satu kes direkodkan pada ME01, namun tiada wabak chikungunya dilaporkan.

Sementara itu bagi survelan zika, beliau berkata sebanyak 18 sampel darah telah diambil dan hasil kajian mendapati kesemuanya adalah negatif. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas