Berita

Kes denggi meningkat, 2 kematian dilaporkan

- Diterbit 28 Mei 2024 2:29 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi kepada 2,461 kes pada Minggu Epidermiologi ke-20 (ME20) bagi tempoh 12 hingga 18 Mei tahun ini berbanding 2,338 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat dua kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME20 adalah sebanyak 59,681 kes berbanding 43,619 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 42 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 28 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME20 adalah sebanyak 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 59 lokaliti yang dilaporkan, 44 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (4); Sarawak (4); Kedah (3) Perak (2); manakala Pulau Pinang (1) serta Negeri Sembilan (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada ME20.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 25 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME20.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,021 sampel darah serta enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas