Berita

Kes denggi meningkat, 1 kematian dilaporkan

- Diterbit 20 Mei 2024 2:23 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi kepada 2,338 kes pada Minggu Epidermiologi ke-19 (ME19) bagi tempoh 5 hingga 11 Mei tahun ini berbanding 1,995 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat satu kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME19 adalah sebanyak 57,220 kes berbanding 41,175 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 40 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 26 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME19 adalah sebanyak 60 lokaliti berbanding 70 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 60 lokaliti yang dilaporkan, 45 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (7); Sarawak (3); Pulau Pinang (2); Kedah (1); manakala Perak (1) serta Negeri Sembilan (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada ME19.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 24 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME19.

“Bagi survelan zika, sebanyak 974 sampel darah serta enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas