Berita

Kes demam denggi menurun, dua kematian dilaporkan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 19 Mac 2024 8:30 PM MYT

JUMLAH kes demam denggi menurun kepada 3,238 kes pada Minggu Epidemiologi ke-10 (ME10) iaitu dari 3 hingga 9 Mac lepas berbanding 3,268 kes pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME10 adalah sebanyak 35,619 kes berbanding 21,602 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 21 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME10 adalah sebanyak 178 lokaliti berbanding 184 lokaliti  pada minggu sebelumnya.

Menurutnya daripada 178 lokaliti yang dilaporkan Selangor mencatatkan 151 lokaliti, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (12 ), Pulau Pinang (enam), Sabah ( tiga), Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing dua, serta Perak dan Kedah masing-masing satu.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiada kes direkodkan pada ME10 dan tiada wabak berkenaan dilaporkan pada minggu tersebut, dengan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah enam kes,

Beliau berkata bagi survelan zika pula sebanyak 453 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan kesemuanya negatif.

Menurutnya setiap individu diminta memberi kerjasama kepada kepada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan dengan membenarkan petugas memasuki rumah bagi melakukan aktiviti kawalan denggi serta memastikan premis bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas