Fokus

Kes bunuh: Masih selamatkah kita

Gambar hiasan
- Diterbit 20 September 2024 11:50 AM MYT

KES bunuh melibatkan ahli keluarga mahupun individu terdekat mangsa semakin banyak dilaporkan akhir-akhir ini sekali gus amat membimbangkan masyarakat apatah lagi rata-rata suspek tidak mempunyai latar belakang penyakit mental serta bebas pengaruh dadah.

Antara kes menggemparkan yang berlaku melibatkan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan guru yang juga merupakan kenalan kepada mangsa, Istiqomah Ahmad Rozi.

Misteri kehilangan wanita berusia 33 tahun sejak sembilan bulan lalu itu terungkai apabila polis mengesahkan identiti satu mayat yang ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang adalah Istiqomah menerusi ujian deoxyribonucleic asid (DNA).

Kes pembunuhan seperti ini sudah tentu membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah punca penyebab atau mendorong lelaki berkenaan bertindak kejam sedangkan yang diragut nyawa itu merupakan kenalan mangsa sendiri?

Menurut Pakar Psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria, pelbagai aspek perlu diperhalusi bagi memahami mengapa insiden bunuh boleh terjadi.

“Antaranya mengetahui sama ada terdapat sebarang masalah ketika seseorang itu dilahirkan‚ sebagai contoh si ibu trauma sewaktu melahirkan seterusnya mendatangkan kecacatan dari segi perkembangan otak si anak yang membuatkannya mengalami kesukaran untuk mengawal perasaan.

“Selain itu, sewaktu di alam persekolahan, adakah seseorang itu pernah dibuli atau didera secara fizikal atau emosi serta pengaruh negatif rakan-rakan terhadap dirinya.

“Personaliti seseorang sama ada introvert atau extrovert juga boleh mempengaruhi. Introvert merujuk kepada individu yang pendiam dan tidak menceritakan masalahnya kepada orang lain serta tidak pandai bergaul. Extrovert pula merujuk kepada individu yang dinamik, agresif, suka berada di luar rumah dan mempunyai hobi yang lasak.

“Namun begitu, terdapat juga personaliti lain yang boleh mempengaruhi tindakan seseorang seperti paranoid, antisosial, histrionic (orang yang suka berdrama untuk mendapat perhatian) dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata maklumat lengkap berhubung kejadian (insiden bunuh) perlu didapatkan secara terperinci termasuk sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.

“Lazimnya insiden yang tidak diingini itu berlaku akibat individu terbabit berhadapan dengan pelbagai masalah secara serentak antaranya masalah rumah tangga, tempat kerja, hutang, kesihatan termasuk tiada selera makan, infeksi dan masalah tidur.

“Apabila lambakan masalah datang sekali gus, kadang-kadang manusia akan hilang kemampuan dan pertimbangan. Apatah lagi jika kesihatan diri sendiri turut terjejas seperti kekurangan rehat‚ air dan makanan yang boleh membuatkan bahan kimia di otak terutamanya neurotransmitter tidak stabil dan boleh membuat individu itu menderita psikosis.

“Mendengar suara-suara (halusinasi) yang mungkin menghina, mencaci atau arahan tertentu akan membuat mereka marah dan bertindak luar kawalan termasuk membunuh diri atau orang lain. Mereka juga berkemungkinan mengalami delusi iaitu mempercayai sesuatu perkara yang terbukti salah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rozanizam berkata dalam kes seperti di atas terutama jika individu yang terlibat itu masih muda, bahagian perubatan akan cuba mencari punca mengapa kejadian sedemikian boleh berlaku.

“Hal-hal yang perlu difikirkan adalah seperti faktor organik iaitu suatu keadaan apabila sel-sel otak terganggu atau rosak yang membuatkan individu itu bermasalah.

“Antara faktor organik yang perlu diselidik ialah sama ada di bawah pengaruh dadah, infeksi terutamanya di otak, pendarahan dalam otak akibat trauma, gangguan kadar elektrolit dalam darah, masalah sistem endokrin, masalah tumor otak, kurang vitamin tertentu bahkan masalah keracunan makanan juga boleh menjadi punca.

“Sekiranya doktor tidak dapat mengesan penyebab seperti di atas, barulah kita fikirkan masalah kesihatan mental yang dikategorikan sebagai faktor bukan organik atau faktor functional yang disebabkan genetik, persekitaran, psikologi dan sosiologi.

“Kes-kes ini termasuklah Brief Psychotic Disorder (kecelaruan psikotik sementara), Dissociative Disorder (kecelaruan jati diri), amuk dan histeria,” jelasnya.

Kesan tanda awal

KES pembunuhan yang tular di media sosial membuatkan ramai yang berkongsi #depressionisreal di laman sosial masing-masing. Tidak kurang juga yang menzahirkan rasa simpati kepada keluarga suspek. Dalam situasi ini, bagaimana masyarakat perlu faham bahawa depresi, stres tidak boleh dipandang ringan?

Menurut statistik National Health and Morbidity Survey 2019 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), antara ancaman tertinggi yang boleh mengakibatkan berlakunya masalah mental di Malaysia ialah menghisap rokok iaitu sebanyak 21.3 peratus (%) dan pengambilan alkohol 11.8%.

Sebanyak 2.3% daripada orang dewasa menghidap depresi manakala 7.9% atau 424,000 pula terdiri daripada kanak-kanak berumur antara lima hingga 15 tahun. Masalah mental juga melibatkan 100,000 orang penagih dadah dan dadah yang paling banyak digunakan ialah marijuana.

“Menurut KKM juga, dalam tempoh Mac 2020 hingga 20 Mei 2021, sebanyak 85.5% daripada 145,173 panggilan yang diterima adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

“Masalah depresi mesti dipandang serius kerana jika gagal ditangani dengan baik ia boleh menjejaskan kualiti hidup, kerja, akademik, sosial dan rohaniah. Masyarakat perlu membaca, peka serta meningkatkan ilmu mengenai penyakit mental melalui penglibatan dalam program yang dianjurkan.

“Masyarakat perlu dididik dengan lebih proaktif tanda awal penyakit mental. Kita perlu tahu cara yang asas untuk berdepan dengan orang yang depresi ataupun individu yang agresif serta bekerjasama dengan doktor agar pesakit dapat dirawat dengan
baik.

“Stigma dan pemikiran negatif terhadap pesakit mental perlu dihapuskan. Perkataan gila atau sasau sebagai contoh tidak seharusnya digunakan sebaliknya ahli keluarga, rakan terdekat, seluruh anggota masyarakat serta kerajaan perlu bersedia menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Secara puratanya, kaum lelaki lebih sukar meluahkan perasaan kerana sifat mereka yang memimpin dan bukan dipimpin berbanding wanita lebih mudah menyuarakan isi hati dan lebih cenderung mendapatkan pertolongan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas