Berita

“Kerusi urut permintaan terakhir Jaafar Onn” – Haiza

- Diterbit 3 April 2024 4:10 PM MYT

MAHU berehat di  atas kerusi  urut. Itulah antara permintaan Allahyarham Jaafar Onn yang disuarakannya kepada teman baik Haiza.

Menurut Haiza, permintaan itu tidak dapat ditunaikan atas faktor kesihatan dan kondisi Jaafar yang sakit.

“Papa (panggilan buat Jaafar Onn) memang teringin  nak ada kerusi urut. Katanya senang nak baring dan berehat.

“Tapi saya rujuk juga dengan anak angkatnya Hanif. Saya juga tanya pendapat rakan-rakan artis lain antaranya Kak Salwa, Ismaliza dan Rina Eva dalam grup WhatsApp yang kami wujudkan.

“Mereka cakap kerusi urut tidak sesuai untuk arwah kerana mencengkam tapak kakinya yang  dah keluar air bisa.

“Jadi, saya bertanya  kepada yang menderma agar dapat keluarkan duit tunai untuk transfer duit ke akaun dia,” katanya.

Haiza yang ditemui di perkarangan bilik forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akui terkejut apabila Hanif memberitahu jantung Allahyarham terhenti.

“Kata Hanif, doktor nak buat CPR (prosedur bantuan kecemasan). Dia mohon doa. Memang saya pun  rancang nak lawat papa hari ini. Saya pun berjanji dengan ramai kawan artis untuk turut serta.

“Selang 15 minit Hanif beritahu papa dah tiada. Rasa terkilan juga kerana tak sempat bertemu dia. Tapi papa pun faham kerja kita macam mana,” katanya.

Menyingkap pengalaman bersama, Haiza menjelaskan hubungannya dengan Allahyarham ibarat anak dan bapa.

“Kami sangat rapat. Sebelum kahwin saya berada dalam karier seawal 15 atau 16 tahun, saya dah kenal dia. Saya belajar untuk jadi seorang pengacara pun dari pemerhatian saya kepada dia.

“Banyaklah ilmu,  kebaikan dia, rezeki dia yang diberikan kepada saya. Apa yang dikongsi kepada orang ramai, semua itu sayalah saksi. Dan dia tak pernah berhenti waktu dia sihat dulu memang aktif.

“Dia ajak saya pergi rumah artis hantar bantuan. Waktu itu saya dapat kenal artis-artis lama. Itu sebabnya saya kenal artis-artis lama semua dari jasa-jasa dia,” ujarnya.

Kata Haiza lagi, arwah seorang yang sangat aktif semasa hayatnya.

“Kalau program memasak, dia masak manakala saya bercakap sebagai hos. Dulu dia tak pernah ada sakit. Orangnya aktif dan jaga pemakanan.

“Bila tahu dia on and off masuk hospital, memang keraplah kita berhubung. Saya tanya dia nak makan apa, dia jawab kata terasa nak makan itu ini dan terus pesan guna khidmat e- hailing.

“Saya sedih kerana seorang demi seorang artis veteran meninggalkan kami selepas Maya Matahari, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Ibnor Riza dan sekarang papa pula,” katanya.  – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas