Berita

Kerugian RM43.9 juta: SPRM serbu pejabat FashionValet

- Diterbit 4 November 2024 6:50 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat FashionValet di ibu negara yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Dalam siaran di laman TikTok rasmi SPRM, sebanyak empat lokasi berkaitan dibongkar penyiasat SPRM secara serentak hari ini.

Menerusi siaran itu, dua individu disoal siasat penyiasat SPRM namun wajah mereka dikaburkan.

SPRM memberitahu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam satu perniagaan fesyen dalam talian tempatan.

Beliau berkata, siasatan itu penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.

“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata, orang ramai diminta memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan ‘perbicaraan awam’ terhadap pihak yang terbabit.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas