PENGASAS platform e-dagang, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan ringkas ketika ditanya mengenai pasangan terbabit.
Jelas beliau, ia berkaitan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
“SPRM menahan pasangan itu tengah hari tadi dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah, Khamis ini,” katanya.
Pada 28 November lalu, Azam menegaskan kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan.
Menurutnya, kertas siasatan terbabit sudah diserahkan kepada bahagian perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Oktober lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet. – WILAYAHKU