Berita

Kertas strategi perkasa sektor PKS sedang disediakan – Ewon

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Januari 2024 4:05 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi  (KUSKOP) sedang menyediakan kertas strategi bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), April depan.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata sebagai permulaan ke arah usaha itu, satu siri sesi libat urus telah diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak PKS tentang isu dan cabaran serta cadangan fasilitasi yang diperlukan bagi pemerkasaan PKS.

Katanya kertas strategi ini amat diperlukan kerana nilai sumbangan sektor Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatat pada 2022, masih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Berdasarkan pencapaian prestasi 2022, sumbangan PMKS kepada KDNK adalah sebanyak 38.4 peratus atau RM580.4 bilion manakala jumlah eksport menyumbang 10.5 peratus atau RM144.5 bilion.

“Koperasi pula menjana perolehan sebanyak RM45.5 bilion dan memiliki aset bernilai RM159.6 bilion. Oleh itu, kita perlu merancang strategi-strategi yang boleh menghasilkan impak yang lebih besar kepada sektor keusahawanan di negara ini,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga kementerian itu pada Majlis Amanat Menteri Tahun 2024 di sini hari ini.

Ewon juga berkata dalam mengukuhkan ekosistem keusahawanan supaya lebih holistik, Jemaah Menteri telah bersetuju agar ekosistem pembangunan serta kawal selia perniagaan francais, diletakkan di bawah KUSKOP.

Katanya perubahan ini adalah sebagai melengkapkan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), sebagai agensi KUSKOP dalam membangunkan usahawan-usahawan francais negara ini.

Dalam masa sama, ia juga menyokong penuh usaha kementerian itu dalam menyediakan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D-PUF 2030) yang sedang dimuktamadkan.

Bersempena majlis berkenaan, tiga peluncuran diadakan iaitu melibatkan Perancangan Strategik KUSKOP 2024, Portal Baharu Pemerkasaan Penarafan Perusahaan Sosial serta Logo Baharu Koperasi KUSKOP.

Perancangan Strategik KUSKOP 2024 ialah dokumen kementerian dalam membangunkan sektor usahawan dan koperasi tahun ini dengan menyasarkan tiga objektif utama, antaranya menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara.

Portal Baharu Pemerkasaan Penarafan Perusahaan Sosial pula adalah pusat sehenti bagi rujukan maklumat terkini mengenai perusahaan sosial di Malaysia dan melaluinya boleh dimohon tiga tahap penarafan iaitu sama ada sebagai Tunas Perusahaan Sosial, Perusahaan Sosial Asas atau Perusahaan Sosial Diakreditasi. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas