Biz

Kerjasama strategik MARii – FVC bantu PKS

MADANI (kiri) dan Baiza menandatangani MoU mengembangkan sumber dana membantu syarikat serta PKS tempatan.
- Diterbit 12 Jun 2020 7:37 AM MYT

KERJASAMA strategik Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Ficus Venture Capital (FVC), menjadi perintis bagi mengembangkan sumber dana untuk membantu syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Inisiatif dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan kedua-dua pihak akan menggembleng usahasama berfokus mengembangkan Rangkaian Pembiayaan untuk perniagaan berasaskan teknologi, seterusnya mewujudkan akses pasaran lebih besar kepada syarikat tempatan.

Menurut Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, kerjasama dirintis itu turut menyediakan satu modul pemikiran kepemimpinan, panduan untuk pengoperasian PKS dan tatacara pengembangan teknologi serta pembiayaan pengkomersialan harta intelek.

Beliau berkata, aspek tersebut diberi penekanan kerana proses kesinambungan jangka panjang perniagaan tidak boleh lari daripada kepentingan penggunaan teknologi teras.

“Keupayaan MARii akan membantu kembangkan lagi kemampuan perniagaan syarikat permulaan (Start-up Company) dan PKS dengan meletakkan mereka di kedudukan lebih kukuh sehingga dapat bersaing dalam pasaran, seterusnya berpeluang meningkatkan dana.

“Menyedari persaingan mendapatkan dana makin sengit ketika ini, telah mendorong MARii dan FVC menandatangani MoU ini sebagai pelengkap bagi ekosistem perkhidmatan kami melalui kerangka pengembangan perniagaan yang komprehensif.

“Kerjasama ini dilengkapi program pembangunan kapasiti perniagaan sebagai instrumen penting MARii tingkatkan akses kepada perniagaan dan mengumpul dana lebih besar untuk skalabiliti,” katanya dalam kenyataan di Cyberjaya, 10 Jun lalu.

Pada 2019, MARii telah melancarkan Program Pembangunan Technopreneur (TDP), Platform Teknologi Pintar MARii (MITP) untuk membolehkan perniagaan termasuk PKS tingkatkan keupayaan teknologi ke arah digitalisasi, menerap strategi perniagaan berasaskan data dan teknologi digital dalam operasi serta kewangan pembangunan pasaran.

Bagi Rakan Urusan FVC, Baiza Bain pula, hasil MoU ini membolehkan kedua-dua pihak mengenal pasti syarikat teknologi berpotensi dipertimbang untuk pembiayaan modal teroka sama ada diberi secara langsung oleh pihaknya atau pembiaya lain.

Katanya, setakat ini komitmen awal RM30 juta telah dijamin untuk inisiatif itu daripada pelbagai pihak pelaburan.

“Kerjasama ini sangat penting bagi kami kerana selain mendapat rakan kongsi untuk pembiayaan modal teroka, juga mencari padanan organisasi yang berwibawa dan memiliki kepakaran terkini dalam bidang teknologi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas