Berita

Kerjasama Malaysia, Arab Saudi tingkat pengurusan haji

MOHD Na'im Mokhtar bersama pengurusan tertinggi TH mengadakan pertemuan bersama Tawfig Fawzan Al-Rabiah sempena Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi di Jeddah
- Diterbit 15 Januari 2025 5:55 PM MYT

KERAJAAN Malaysia menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua pihak terutama dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mewakili Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi diwakili Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah.

Mohd Na’im berkata, memorandum tersebut menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.

“Alhamdulillah dalam kunjungan rasmi ke Jeddah, kita telah dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin di antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di Tanah Suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” kata beliau.

Memorandum yang dimeterai itu melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M.

Selain itu Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.

Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.

Dalam kunjungan hormat Mohd Na’im bersama Dr. Tawfig itu juga, Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dan ini akan dipertimbangan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.

Pertemuan rasmi ini diadakan bersempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi yang diadakan bermula 13 hingga 16 Januari, bertempat di Superdome, Jeddah.

Ia mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.

Delegasi Malaysia turut diwakili Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.

Para delegasi turut berkesempatan untuk berjumpa dengan beberapa wakil pengendali dan Pejabat Urusan Haji dari beberapa negara bagi bertukar pandangan serta perkongsian ilmu dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas