Berita

Kerajaan tidak pernah tolak cadangan pelantikan Ahli Majlis di Kuala Lumpur

Dr. Zaliha Mustafa. Kredit: BERNAMA
- Diterbit 25 Februari 2025 6:30 PM MYT

KERAJAAN tidak pernah menolak keperluan pelantikan Ahli Majlis di Kuala Lumpur, namun buat masa ini ia masih belum dapat dilaksanakan kerana terikat dengan peruntukan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Katanya, meskipun pelantikan Ahli Majlis DBKL belum boleh direalisasikan sekarang, kerajaan sentiasa terbuka untuk mencari pendekatan lebih inklusif dalam memastikan suara rakyat terus didengari dalam pengurusan Kuala Lumpur.

“Cadangan ini amat dihargai, dan saya telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL untuk mengkaji semula Akta 190, yang tidak pernah dipinda sejak tahun 1960,” katanya ketika sesi penggulungan di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zaliha, akta berkenaan memperuntukkan pelantikan sehingga 15 orang Ahli Lembaga Penasihat Bandar Raya Kuala Lumpur yang berperanan menasihati Datuk Bandar dalam aspek pengurusan bandar raya.

“Oleh itu, buat masa ini, kerajaan perlu mematuhi peruntukan sedia ada sebelum sebarang pindaan boleh dilakukan,” katanya.

Sebagai langkah alternatif, Zaliha menjelaskan bahawa pihaknya telah mengaktifkan semula Majlis Menteri Wilayah yang memberi ruang kepada Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk terlibat dalam perbincangan mengenai dasar serta isu berkaitan pentadbiran Kuala Lumpur.

“Selain itu, Majlis Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur Bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan juga telah ditubuhkan sebagai satu lagi platform bagi Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan rakyat.

“Melalui majlis ini, wakil rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses perancangan dan pengurusan bandar raya bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat lebih inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga melihat keperluan untuk meningkatkan mekanisme rundingan serta penyertaan lebih banyak pihak dalam pentadbiran Kuala Lumpur, terutama dalam aspek pembangunan, perkhidmatan awam, dan kesejahteraan bandar raya.

“Oleh itu, cadangan pelantikan Ahli Majlis DBKL tidak diketepikan, sebaliknya akan diteliti secara lebih mendalam melalui kajian semula Akta 190,” katanya.

Dengan kajian semula yang bakal dilakukan, kerajaan memberi jaminan bahawa suara rakyat akan terus didengari dan diambil kira dalam setiap dasar serta keputusan berkaitan pengurusan Kuala Lumpur.

“Apa yang penting, kita pastikan proses ini berjalan mengikut perundangan dan dalam masa yang sama, mencari pendekatan terbaik untuk membolehkan rakyat terlibat dalam pembangunan bandar raya ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas