KERAJAAN tidak pernah bertindak untuk mengehadkan kebebasan media elektronik selagi mana penggunaannya tidak melanggar peruntukan seksyen 211 dan seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kementerian Komunikasi berkata kebebasan ini turut dinikmati oleh pengamal media dalam melaporkan berita selagi mana tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.
“Para pengamal media juga adalah disyorkan untuk merujuk kepada Kod Kandungan 2022 (Kod Kandungan) yang memberikan panduan jelas berhubung standard kandungan yang selaras dengan Akta 588 dalam memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain daripada melangkaui batas kebebasan media,”
“Kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurut Kementerian Komunikasi, kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak, sebaliknya harus dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia.
“Malaysia terikat dengan Perlembagaan yang menggariskan kebebasan bersuara terutama perkara sensitif melibatkan sentimen 3R (race, religion, royalty),” katanya.
Kementerian Komunikasi berkata pihaknya sentiasa komited dan berusaha memperkasa kebebasan media serta kebebasan bersuara melalui jabatan dan agensi di bawahnya.
“Sebagai contoh, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) telah membangunkan Kod Etika Wartawan Malaysia untuk mengangkat martabat media dengan memastikan maklumat yang disampaikan kepada pihak umum adalah bersandarkan Etika Kewartawanan Malaysia (EKM) 1989 seperti yang telah digariskan sebelum ini.
“Kod Etika tersebut tidak bertujuan menyekat kebebasan media dalam menjalankan tugas dan bertindak sebagai suara kepada rakyat,” katanya.
Katanya, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menerusi ketiga-tiga platform penyiarannya iaitu televisyen, radio dan media digital mengamalkan konsep liputan berimbang dan bertanggungjawab tanpa mengambil kira fahaman politik dan subjek liputan serta mengutamakan faedahnya kepada rakyat dan negara asalkan ia tidak melibatkan provokasi kepada mana-mana pihak.
“Prinsip ini bersesuaian dengan amalan yang digariskan oleh Kod Etika Penyiaran yang menjadi rujukan RTM sejak tahun 2003 (semakan 2023) iaitu mengutamakan nilai berita dan memuatkan pandangan pro dan kontra semua pihak.
“Ia juga seiring dengan matlamat memberi kebebasan untuk penyiar berkarya dan berkreativiti tetapi pada masa yang sama memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.
Tambah Kementerian Komunikasi, sebagai agensi berita nasional, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menyampaikan maklumat melalui platform komunikasinya.
“Ini termasuk BERNAMA Wires, BERNAMA TV dan BERNAMA Radio serta media sosial yang merangkumi TikTok, Facebook, Instagram dan X,” katanya. – WILAYAHKU