PENYEDIA perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) tidak dibenarkan mengenakan caj tambahan terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G.
Tegas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, kerajaan berpendirian untuk tidak mengenakan caj tambahan namun pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu hasil perbincangan bersama MNO.
“Kita harap dapat selesaikan perbincangan tentang isu perjanjian perkongsian dalam isu urusan ekuiti ini dalam satu perkara yang dibincangkan adalah kadar atau fee tersebut.
“Saya serahkan kepada Datuk KSU (Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) yang merupakan pengerusi bersama untuk jawatankuasa pelaksanaan 5G untuk membuat pengumuman nanti, Insya Allah.
“Kalau boleh juga kita hendakkan kerjasama dengan rakan-rakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan kita tunggu sedikit masa untuk mereka selaraskan beberapa perkara dan saya difahamkan ada beberapa telco yang akan buat beberapa pengumuman dan saya serahkan kepada mereka untuk umumkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian program OKU Celik Digital di Lembah Pantai di sini hari ini.
Terdahulu, pada 20 Oktober lalu, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) dilapor masih mengekalkan pendirian mengenai isu caj tambahan untuk langganan rangkaian 5G walaupun terdapat beberapa permintaan sebelum ini untuk memansuhkan caj tambahan itu.- WILAYAHKU