KERJASAMA erat antara Kerajaan Persekutuan dan pimpinan negeri diterajui Premier Sarawak adalah teras penting dalam merealisasikan cita-cita bersama untuk Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera.
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa Sarawak.
“Ia termasuk menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga utama menerusi ASEAN Power Grid dan menyelesaikan perjanjian MA63 secara tuntas dan adil.
“Kehadiran saya ke Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai di Kuching malam tadi bukan sekadar memenuhi undangan, namun sebagai tanda penghargaan terhadap kekayaan budaya dan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan sebenar Malaysia.
“Kita perlu berbangga bahawa di tengah-tengah kepelbagaian kaum dan budaya, rakyat Sarawak terus mempamerkan semangat ‘Segulai Sejalai’ satu nilai yang kini menjadi pegangan dalam pentadbiran negara,” ujar beliau di Facebook.
Tegasnya dalam usaha membina sebuah negara yang lebih adil, makmur dan bersatu, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah perlu berganding bahu dan saling menyumbang dalam semangat kekitaan. – WILAYAHKU